Tuesday, December 27, 2005

Binatang!
Kau ketua?
Kau aktivis?
Hahahaha!
Gelak aku .. kau berlawak
Kritik sana, kritik sini!
Forum sana, forum sini!
Pertemuan sana, sini …
Kau perjuangkan apa, siapa?
Kebencianku pada mereka yang mengejar nama
Kebencianku pada mereka yang bermain kata
Pergunakan sastera dan bahasa untuk menyanjung diri
Pergunakan orang kecil ibarat kambing biri-biri
Kau, kau, kau binatang!
Hey!
Aku tetap dengan puisi mabukku
Aku tulis sepenuh hati
Dengan pena merah ligat menari
Bersama cakrawala dan bulan di sisi
Aku bukan penyair sunyi
Aku masih berani
“Ah, aku tidak perlu dipanggil sasterawan!”
Penulis muda .. ya aku muda
Penulis gila .. ya aku gila
Demikian dunia Melayu ini
Penuh dengan dengki
Aku terapung dalam kolam politik mereka
Aku belum lemas …
Mati jauh sekali
Biar si langit menjadi saksi
Aku tidak terbakar terik mentari
Puisi aku bernyala seperti api neraka
Membakar binatang berkata dusta
Elmi Zulkarnain
Thursday, December 22, 2005

Langit Menyimpan Seribu Hujan
Langit menyimpan seribu hujan
Hujan yang menyimpan berjuta harapan
Tunggu membasuh derita desa Rara tercinta
Bersama awan nan mendung
Zahara, nampak murung
Ayah dan ibu tiada bersama
Di bawah timbunan bata entah di mana
Kemiskinan keseorangan cuba fahami hakikat
Mencari kebebasan dari kehidupan tersekat
Lambaian rumputan liar dan angin mendingini
Cuba melenakan dia melupakan segala
Namun, mengingati saudara yang telah pergi
Hati yang remuk asyik bertanya
Kabus menyelimuti segenap kawasan gunung
Hawa sejuk salju menikam kulit
Hanya khemah kanvas menjadi pelindung
Sepuluh tubuh manusia berhimpit-himpit
Terdengar seorang lelaki meraung
Zahara dan gelisah terus bertarung
Penduduk Rara hidup binasa
Musim bertukar keadaan tidak berubah
Rumah dan sekolah masih tiada
Setiap ketika hanya menampung air mata
Gempa Kashmiri telah meragut segala-gala
Si dara yang yatim kini menjadi mangsa
Manusia buas melayan nafsu mereka
Anak kecil dijaja mengejar dolar
Janda cuba menyusu anak tidak bernyawa
Mata merah menyala
Kecewa merayap dalam hati
Zahara ingin terbang tinggi
Membawa jeritan dan sedih sendiri
Dia tidak akan membiar diri kalut begitu
Tergerak pula menenang jiwa terganggu
Tergerak pula ingin sedar dari racau mengganggu
Di atas pasir dengan sejadah
Sebut dia kata-kata Allah
Dengan kain putih menutup kepala
Zahara masih percaya
Akan menjelma seketika cahaya
Merubah derita jadi bahagia
Akar iman mengurat di bumi tercinta
Sungai hampir kering ikut bertasbih
Menyelesakan diri yang kian tertindih
Berzikir bumi memberi pujian pada yang Esa
Hati mula tersenyum bebas dari siksa
Hujan akan turun bersama harapan
Bersama haruman bunga syurga Tuhan
Sungai kembali deras sepanjang masa
Mengalir barakah ke hilir semula
Elmi Zulkarnain
22 Disember 2005
Buat Desa Rara, Pakistan
Monday, December 19, 2005

Secebis Harapan Cinta
Kenapa aku bercinta?
Kerana Muhammad kekasih Allah
Kerana Rasullullah mencintai umatnya
Manusia digalak ikut bercinta
Cinta pada manusia
Cinta pada alam
Cinta dibiar mengalir setiap masa
Aku juga bercinta ...
Aku bercinta tanpa mengenal rajuk
Bersama syukur dan sujud aku memeluk
Membelai dirimu tanpa mengenal ngantuk
Dalam lena juga aku terjaga
Kerana kerinduan pada si dia
Dia yang membuat ku coret setiap rasa
Dia yang mengocakkan rasa asmara
Aku berharap, ya aku berharap
Bukan .. aku bukan bermimpi
Aku dan dia tidak mahu bersembunyi
Kisah cinta yang punya segala kemanisan
Biar ku cerita pada skeptis-skeptis percintaan
Derita yang dulu berlabuh
Kini diganti rasa manja yang bersauh
Kupu-kupu sayu yang dulu bertamu
Kini mewarna hariku ceria selalu
Semua orang berkasih
Kerana rasa kasih kurniaan Ilahi
Dan dengan mencintai si dia
Membuatku lebih kasih akan diriNya
Kabulkan layar impianku Tuhan
Biarkan rasa cinta ini berpanjangan
Cinta padanya ku akur setia
Cinta hakiki padaMu tidak ku persia
Elmi Zulkarnain
Buat si dia …
20 Disember 2005
Wednesday, December 07, 2005

Perginya Seorang Penyair
Awan putih menyuram kelabu kegelapan
Turut menyembunyi mentari yang kesedihan
Suasana senja memujuk rasa gundah kehilangan
78 tahun dirimu mengenal dunia
Ribuan tahun lagi dirimu bernyawa
Kerana kau satu-satunya ayah puisi moden
Kerana sayang
Guratan pena menjadi karya
Ribuan naskah, jutaan kekata
Buat pedoman pengiring bangsa
Kerana cinta
Kau jelmakan bait-bait puisi mempesona
Menyedarkan manusia termenung sentiasa
Membangunkan mereka yang terlelap seketika
Kerana kasih
Puisimu menerjang badai gelora
Menghadang gelombang duka
Martabatkan kedudukan Melayu Singapura
Tidak pernah dirimu kenal akan putus asa
Malah meyakinkan prodigi-prodigi muda
Mengghairahkan para penulis terus bercinta
Pada unggulnya sastera, agama dan budaya
Aku cinta padamu Cikgu!
Ibarat laut pada daratan
Seperti sungai pada sang hujan
Bak rerama pada bunga cantik Tuhan
Bersama yang lain
Doa diutus agar rohmu dirahmati sentiasa
Bintang beratur bertitian menjemputmu ke syurga
Elmi Zulkarnain
Buat Allahyarham Dr. Masuri S.N
11 Jun 1927 - 06 Disember 05
Saturday, December 03, 2005

Aku amat kecewa mendengar yang pemerintah Aceh sanggup menamakan dua batang jalan raya di sana sempena nama George W. Bush (Jnr) dan Bill Clinton. Ini dilakukan kerana pemerintah Aceh dikatakan terhutang budi dengan bantuan Tsunami A.S dari segi logistik dan pendermaan wang sebanyak AS$300,000.
Sekiranya aku jadi jutawan, dengan mudah, beberapa batang jalan raya Aceh dinamakan sempena nama aku. Atau sekiranya Siti Nurhaliza, Saiful Apek atau Mawi tidak berkeberatan mendermakan ratusan ribu dolar, Jalan Asmawi, Jalan Apek atau Jalan Siti Nurhaliza boleh menjadi satu kenyataan.
Ironik bukan? Sedang jutaan rakyat Indonesia melaung-laungkan kebencian mereka terhadap Amerika, si Aceh pula yang mengagung-agungkan Presiden A.S. Hei, Aceh, pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia pun banyak membantu. Kenapa tidak ada Jalan S.R Nathan ke, Jalan Badawi ke …?
Aku memang mengalu-alukan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana Tsunami. Aku pun manusia yang ada kemanusiaan tapi apa yang Aceh lakukan memang memeranjatkan dan mengecewakan.
Lupakah mereka tentang apa yang berlaku di Iraq dan Palestin. Angkara siapa? Lupakah mereka tentang label ‘Paksi Kejahatan’ yang A.S berikan kepada Iran. Islam dilabel agama teroris oleh siapa? Jawablah wahai orang Aceh?
Sedih .. Aku sedih … Aku noktahkan pendapat aku di sini sahaja. Nanti jadi kacau bilau pula jadinya.
Ikhlas
Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek
Thursday, December 01, 2005

Puisi dan Manusia
Mengapa aku jadi penyair?
Kerana puisi itu gambaran intelek manusia
Kerana puisi adalah hasil industri manusia
Kerana puisi digubal oleh kemahiran manusia
Buat siapa?Buat manusia juga
Yang sepatutnya ditegur dengan metafora pedas
Yang inginkan kebebasan dari hidup terkandas
Puisi itu seharusnya indah
Bukan setakat permainan kekata
Bukan digunakan untuk memperdaya
Mengawang di minda melukis nan nyata
Hingga kini menjadi perantaraan kisah cinta
Penyair asli hatinya terbuka
Penyair tulen cinta akan masyarakatnya
Tidak mengharap balasan harta dan nama
Ku kesali penyair yang berdusta
Puisiku untuk mendidik
Kadang-kala abstrak, kadang-kala unik
Namun aku bukan penyair fanatik
Aku masih kenal erti cantik
Aku tahu maksud praktik
Aku akur pentingnya kualiti intrinsik
Puisi adalah kepunyaan manusia
Yang tua, muda, adam dan hawa
Penyair dengan puisinya
Puisi dengan manusianya
Makhluk kerdil ciptaanNya
Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek
021205